Seorang ulama Sufi di zaman tabi'in, Al'Imam Hassan Al-Bashri menunjukkan kita jalan ketenangan dengan berpesan. Empat kata-kata yang merupakan kunci meraih ketenangan ialah :
1. Katanya "Aku tahu bahawa rezekiku tidak akan jatuh ke tangan orang lain, maka hatiku menjadi tenang".
Kata-kata ini membawa kefahaman kepada kita bahawa manusia yang faham benar konsep rezeki pasti tidak akan mengorbankan masa untuk persediaan akhiratnya demi kepentingan duniawinya. Mana mungkin ditinggalkan solatnya walau satu waktu, hanya kerana ribuan ringgit. Mana mungkin diabaikan pahala menjaga ibu yang tua kerana kepentingan lain. Mana mungkin ditinggalkan ibu tuanya yang memakai pampers dengan linangan air mata, semata-mata untuk menjadi si kaya dengan merantau ke bumi lain, sedangkan pendapatannya hari ini sudah lebih dari cukup.
2. Katanya "Aku tahu bahawa tugasku (sebagai hamba) tidak akan dikerjakan orang lain, maka aku sibukkan diriku dengannya".
Jika kita ditugaskan untuk solat lima waktu, maka kewajipan itu atas diri kita. Tidak diterima solat orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menunaikan solat. Jika kita dibebani dengan kewajipan menutup aurat, maka tidak diterima dari orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menutup aurat. Jika kita sebagai suami yang membiarkan anak isteri tanpa makanan kerana kelalaian, lalu ada insan yang bersimpati menghulurkan bantuan, kewajipan kita tetap tidak terangkat. Kita adalah dia yang berdosa kerana mengabaikan kewajipan yang diamanahkan.
3. Katanya "Aku yakin Allah memerhatikanku, lalu aku malu untuk menjatuhkan diriku ke dalam dosa.
Allahu Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Surah Qaf ayat 16;
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُ ۥۖ وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيد
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan menusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."
Sahabat-sahabat yang dikasihi, sekiranya anda menjadi imam solat adakah anda sanggup menggaru punggung anda di hadapan jemaah? Adakah anda sanggup menggali khazanah dari lubang hidung anda? atau adakah anda sanggup membuang angin dengan bunyi yang kuat?
Sudah tentu tidak. Tetapi mengapa?
Kerana anda yakin bahawa ada mata yang memandang anda di belakang. Mata para makmun yang berkomunikasi baik dengan lidah mereka sehingga kejelikan akhlak anda cepat tersebar. Jika diikutkan, anda tidak mampu melihat ke belakang, bahkan anda juga tidak tahu apakah makmun tadi benar-benar melihat anda, anda juga tidak tahu adakah makmun tadi masih bersama atau sudah mufaraqah dari anda, tetapi lihatlah, betapa keyakinan anda sudah memadai untuk menjadikan anda imam yang penuh kesopanan.
Cuba kita bayangkan, seandainya kita berkeadaan seperti ini pada setiap ketika iaitu berkeadaan seakan seorang imam yang sentiasa berasa diri diperhatikan, sudah pasti kita akan jauh dari dosa dan penderhakaan. Sudah pasti, kita semakin hampir kepada Allah, makan bersaksilah di saat itu, hati-hati kita pasti menjadi tenang.
4. Katanya "Aku tahu ajal itu pasti datang, maka aku selalu bersiap-siap menantinya".
Imam As-Suyuthi dalam kitabnya Syarhu Asy-Sudur Bi Syarhi Ahwalil mauta wal Qubur menukilkan kata sahabat Nabi Abu Darda' r.a tentang ajal kematian :
"Peringatan yang memberi kesan dan suatu yang diabaikan yang segera datang, memadailah kematian sebagai pemberi peringatan dan memadailah masa (umur) sebagai pemutus. Hari ini di dalam bilik, esok di dalam kubur."
Moga perkongsian ini dapat kita hayati dan amalkan dalam hidup kita untuk beroleh ketenangan. Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang
No comments:
Post a Comment