Segelintir pasangan mungkin lupa untuk membangkitkan rasa cinta
yang sudah lama pudar apabila sudah bertahun-tahun mendirikan kebahagiaan.
Ada pula pasangan yang sudah lama mendirikan mahligai,
tetapi sering tampil seolah-olah baru saja berkahwin.
Menghargai pasangan sama ada isteri atau suami tidak
semestinya memerlukan hadiah yang besar untuk menzahirkan kasih sayang. Cukup
sekadar kata-kata manis atau sentiasa senyum biarpun diuji dengan kerenah
pasangan yang sering membuat anda makan hati.
Berikut petua yang mungkin boleh dijadikan renungan
pasangan untuk mengeratkan bahtera perkahwinan. Semoga panduan itu mampu
menjadi titik mula yang baru buat anda berdua.
* Duduk bersendirian dan kosongkan fikiran. Cuba kenang
semula perasaan pertama dan istimewa yang anda alami ketika awal percintaan
dengan pasangan.
Jangan pula terkenangkan bekas kekasih yang sudah tidak
memberi sebarang makna. Sekiranya anda masih mengenangnya, bermakna anda cuba
mencari masalah.
* Wujudkan perasaan yang sama terutama jika kini anda
berada bersama pasangan. Cuba renungkan orang yang sentiasa di hati sehingga si
dia rasa pelik dan kurang selesa. Bercakap dengan pasangan dengan penuh
romantis dan bisikkan selalu yang anda amat menyenanginya.
Sekiranya pasangan sibuk dan ketika dihubungi dia tidak
angkat telefon, tinggalkan pesanan romantik di pesanan suara telefon.
Tidak pun, ambil kertas tulislah sesuatu yang romantik
untuknya. Pasti dia akan terkejut dan bangga.
* Carilah masa untuk anda dan pasangan berdua-duaan. Ketika
itu jangan bawa anak atau rakan untuk menemani.
Apabila berdua-duaan, ia memudahkan perasaan berkasih
sayang antara anda dan pasangan.
Untuk pasangan yang ada anak kecil, jangan jadikan ia
sebagai alasan kerana. Minta bantuan pengasuh untuk menjaga anak beberapa jam
saja.
Mulakan dengan mengajak pasangan membeli barangan rumah dan
laksanakan teknik secara semula jadi. Pasangan anda mungkin tertanya-tanya
tetapi apa yang penting, anda berdua bahagia.
* Buat kejutan sekali sekala tetapi jangan buat kejutan
negatif yang boleh memudaratkan.
Mungkin anda boleh membeli hadiah kecil tetapi ringkas dan
menarik. Jika pasangan tidak tahu menghargai dan masih merungut, biarkan saja
dan terus mengkaji isi hati pasangan yang boleh membuatkan dia tersentuh hati
dengan penghargaan anda.
Niat yang baik selalunya akan berjaya juga akhirnya.
* Latih diri dan perasaan untuk memandang perkara yang baik
mengenai pasangan terutama perkara yang membuatkan anda jatuh cinta padanya
buat pertama kali dulu.
Sekurang-kurangnya, cari tiga hingga lima perkara baik
pasangan. Kemudian, cuba wujudkan perasaan bangga kerana menjadi suami atau
isteri buat pasangan yang istimewa itu. Itu antara cara yang membuatkan anda
dan pasangan sentiasa saling menghargai.
Apabila berbual dengan rakan atau saudara mara, selitkan
puji-pujian buat pasangan. Jika ada yang memuji pasangan, anda harus menyokong
dan mengakui kebenarannya. Ini membuatkan anda lebih sayangkan pasangan dan
menyebabkan orang luar memandang tinggi dengan perhubungan anda.
* Tidur dan bangun pagi antara saat paling bermakna dalam
hidup masing-masing apatah lagi mereka yang sudah berumah tangga.
Akhiri hari anda dengan ciuman dan peluk pasangan anda
sebelum tidur sambil memaafkan segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Apabila mula melayari alam rumah tangga, tunjukkan kasih
sayang dengan kata-kata yang menghargai pasangan.
Ramai yang terlepas pandang perkara ini namun cuba amalkan,
anda tentu rasa bahagia dan lega.
No comments:
Post a Comment